Thursday, June 17, 2010

Berubah? Pilihan di tangan sendiri..


Hari ini rakan serumah aku berpindah ke Sydney. Dia berasal dari Malaysia, senegara dengan aku. Perkenalan aku dengannya amat singkat. Hampir sebulan kalau perkiraan aku tidak silap. Meskipun kami berlainan agama dan bangsa, aku masih mempunyai rasa hormat terhadap dia yang berbeza umur dengan aku sebanyak lima tahun. Sebaya dengan adik aku. Meskipun dia masih muda berbanding aku, namun ketinggiannya membuatkan dia nampak sedikit matang dan berusia. Namun, bukan itu isu yang ingin aku ketengahkan. Ada lagi isu penting yang aku rasa lebih utama untuk aku usulkan.

Malam semalam, kawan Cina aku ini berhajat untuk belanja aku makan. Katanya, aku telah memasak untuknya beberapa kali tetapi dia langsung tidak memasak untuk aku walau sekalipun. (Aku hanya masak nasi lemak dan nasi briyani untuk aku sendiri tetapi apa salahnya kalau kita berkongsi memandangkan terdapat lebihan kan?) Kami bukan pergi berdua tetapi berempat. Kawan Cina aku ini aku namakan dia sebagai X. X amat menghormati permintaan aku untuk makan di restoran yang halal meskipun sebelum itu X telah menyatakan hasrat untuk makan di restoran Thai (memang tidak halal). Akhirnya, kami mendapat kata putus dan berkesudahan dengan makan di restoran Indonesia, Sanur yang memang terserlah kehalalannya. (Sijil halalnya terpampang di hadapan restoran).

Kami berdua memesan sajian yang sama, Nasi Rames Ayam sementara kawan yang berdua itu hanya memesan desert kerana sudah kekenyangan. Nasi Rames Ayam ini disajikan bersama nasi putih, gado-gado, sedikit kicap, sambal belacan (yang kurang rasa belacan) dan juga ayam yang diperap bersama kicap dan sos tiram mungkin. Rasanya tidak memenuhi selera aku dan harganya agak mahal. Sajian tersebut berharga AUD 15.90. Setelah meyuap sesuap dua, X berkata bahawa dia lebih meminati nasi lemak bersama sambal udang yang aku masak tempoh hari. Aku hanya tersenyum.

Sambil makan, kami berborak sempena meraikan X yang akan berpindah ke Sydney. Dia tidak serasi di Canberra. Kursus ijazah yang diikutinya sekarang nampaknya lain benar dengan apa yang dipelajarinya di Malaysia semasa kursus diploma. Aku kira dia mengambil keputusan yang bijak kerana tidak menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan program ijazahnya sekarang. Sekurang-kurangnya, dia tahu apa yang dia perlu lakukan untuk hidupnya.

Semasa makan, X telah membuat suatu pengakuan yang sangat memeranjatkan aku. Dia mengaku bahawa dia sebenarnya seorang lesbian. Aku fikir dia hanya main-main. X berpenampilan seperti lelaki. Rambutnya pendek. Jam yang dipakainya juga sesuai untuk lelaki. Seluar kargo dan butnya juga cukup untuk menyerlahkan sifat maskulin di dalam dirinya yang feminin itu. Meskipun berpenampilan seperti seorang ‘tomboy’, namun tidak terlintas langsung di fikiran aku bahawa dia sememangnya seorang lesbian. Pada mulanya kami menyangka dia hanya berseloroh, tetapi rupa-rupanya X berkata benar. X juga amat lega dapat memberitahu perkara sebenar kerana selama ini dia amat tertekan dengan ahli keluarganya yang menyuruhnya berkelakuan seperti seorang perempuan. Sungguh aku tidak menyangka bahawa X seorang lesbian. Aku juga bersyukur kerana dia hanya membongkar rahsia hitamnya itu pada hari terakhirnya di Canberra.

Setelah mengetahui perkara itu, masing-masing berlagak biasa dan menyambung kembali perbualan. Aku menyuarakan pendapat aku bahawa X boleh berubah dan tidak perlu berkelakuan di luar tabii. Namun, X dengan keras menyangkal bahawa semua ini berpunca daripada didikan kedua ibu bapanya yang tidak mahu menerima hakikat bahawa nalurinya cenderung untuk berkelakuan seperti seorang lelaki.

Entahlah. Aku buntu. Bagi aku, kecenderungan itu boleh diubah. Apa yang menjadi masalah adalah apabila kecenderungan itu dibelai dan dibaja yang seterusnya menjadikan kecenderungan itu bertambah dan sukar untuk dilupuskan. Perempuan seharusnya berkelakuan seperti perempuan dan lelaki juga begitu sebaliknya. Perempuan yang ingin berkelakuan seperti lelaki sebenarnya telah melanggar fitrah ciptaan Allah. Bukankah Allah telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian?

Aku fikir apa yang membezakan aku dengan X adalah cara kami berfikir. X menganuti agama Buddha dan aku menganuti agama Islam. X bermati-matian mengatakan bahawa apa yang berlaku kepada dirinya tidak boleh diubah. Sebaliknya, aku berpendapat bahawa semua itu boleh diubah sebagaimana Allah berfirman; “Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri” (Surah Ra’d; ayat 11). Nah, terbukti bukan. Pokok pangkalnya terletak pada diri kita sendiri. Renung-renungkan. Semoga kita dijauhkan daripada perkara-perkara sedemikian. Nauzubillah minzalik.

p/s: Kalau bukan kita sendiri yang mengubah keadaan diri kita, siapa lagi?

1 comment: