Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi sebelum Ramadhan berlalu pergi meninggalkan kita semua..sebak rasanya hati ini kerana belum tentu lagi kita akan dapat menikmati Ramadhan tahun hadapan..apa-apa pun, sama-samalah kita berdoa semoga Allah memanjangkan usia kita agar Ramadhan seterusnya akan dapat kita kecapi..juga, semoga Allah mengampunkan semua dosa-dosa kita dan sentiasa melimpahkan rahmat-Nya kepada kita semua..
Beberapa persoalan yang perlu kita tanya diri kita sebagai peringatan agar kita tidak lupa..bagaimanakah Ramadhan kali ini kita lalui? cukupkah segala amalan untuk menyiapkan diri menghadapi 11 bulan seterusnya sebelum Ramadhan muncul lagi? kem Ramadhan kali ini adakah kita penuhi dengan amalan-amalan yang mampu menjadi perisai diri? jangan hanya gah melakukan segala amalan wajib dan sunat di bulan Ramadhan, tetapi apabila Ramadhan ditinggalkan, semua amalan diabaikan..tidakkah hanya sia-sia perbuatan sedemikian?
Aidilfitri kali ini merupakan tahun kedua aku beraya sebagai perantau kota..kali pertama dahulu di bumi England..kali ini aku beraya pula di Australia..harapan aku agar aidilfitri kali ini dapat aku sambut dengan meriah meskipun berjauhan dengan keluarga..sedih apabila memikirkan sanak-saudara yang jauh di mata..apa pun, kali ini tahun kedua aku beraya tanpa Ayah yang telah kembali ke rahmatullah tahun lepas..juga arwah Chik yang juga telah pergi menghadap Ilahi lewat 2008..tidak dilupakan arwah Atuk yang telah dipanggil menghadap-Nya pada tahun 2002..semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman..Al-Fatihah..
Bersempena dengan Aidilfitri yang akan menjelang tiba sedikit masa lagi, aku ingin mengambil kesempatan ini untuk menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf seandainya terdapat sebarang perbuatan atau kata-kata yang menghiris jiwa, menusuk sanubari dan melukakan hati sesiapa jua..sesungguhnya, aku hanya manusia biasa yang tidak lekang dari khilaf dan dosa..semoga kalian berbahagia beraya di samping keluarga tercinta, teman-teman dan sahabat handai..lupakan segala sengketa, pulihkan semula silaturrahim yang keruh..
p/s: Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir dan batin
No comments:
Post a Comment