Wednesday, September 22, 2010

Jalan raya @ Sydney

Masa mula-mula aku menjejakkan kaki ke bumi Australia pada bulan Mei tahun ini, aku telah berpeluang melawat Sydney dan Wollongong..namun begitu, lawatan aku ke Sydney sangat singkat memandangkan aku banyak menghabiskan masa di Wollongong..kali ini, apabila sepupu aku di Melbourne mencadangkan untuk aku bersama-sama melawat Sydney, aku tanpa berkira-kira terus bersetuju..kali ini, kami menghabiskan masa selama 4 hari 3 malam di Sydney..perjalanan yang cukup menyeronokkan dan penuh dengan memori indah..

Hari pertama-Isnin, 13 September 2010

Aku memulakan perjalanan dari Canberra menaiki bas ekspres Greyhound pada pukul 9 pagi..alhamdulillah, perjalanan lancar dan selesa.. di dalam bas, aku tidur sepanjang perjalanan kerana keletihan sepanjang tiga hari berhari raya..aku tiba di Sydney Central tepat jam 12.30 tengahari..dari Sydney Central, aku menapak ke Big Hostel yang terletak tidak sampai 1 kilometer dari Sydney Central..aku check-in dan terus sms sepupu aku memberitahunya bahawa aku sudah selamat tiba..kami tidak dapat tinggal di bilk yang sama memandangkan parents sepupu aku berserta adik beradiknya dari Malaysia datang sekali..mujur aku dapat bilik yang kesemuanya perempuan..nasib baik juga bilik airnya di dalam bilik..kalau tidak, jenuh juga untuk mandi di bilik air di luar bilik..

Setelah berehat kira-kira setengah jam, sepupu aku mengajakku datang ke biliknya..dapat juga kami bersua setelah lapan bulan tidak berjumpa..paling akhir kami bertemu sewaktu beliau pulang bercuti di Malaysia pada bulan Januari tahun ini..nasib baik aku membawa bekal sandwich tuna yang sempat aku buat sebelum bertolak pagi tadi..dapat juga kami mengalas perut sebelum makan tengahari..selesai solat dan membersihkan diri, kami berjalan menuju ke Hay Street..tidak sampai 1 kilometer, kami tiba di restoran Cina yang menyajikan makanan halal..alhamdulillah..tidak susah mencari restoran halal di Sydney berbanding di Canberra..selepas makan, kami memulakan perjalanan..hentian pertama kami adalah di Darling Harbour..cantik pemandangan di sekitar Darling Harbour..tak kering gusi kami dibuatnya apabila adik sepupu aku asyik berhenti mengambil gambar setiap beberapa langkah sehinggakan suami kepada sepupu aku terpaksa membuat peraturan iaitu kami tidak dibenarkan bergambar untuk mengelakkan daripada terlambat mengejar feri..kelakar sungguh..

Dari Darling Harbour, kami menaiki feri ke Circular Quay..feri ini ala-ala feri Pulau Pinang..cuma feri Pulau Pinang lagi besar kerana mampu memuatkan kenderaan..sampai di Circular Quay, kami berjalan ke Sydney Opera House..seperti biasa, sesi bergambar bermula..nasib baik aku membawa tripod kerana suasana yang kurang cahaya menyukarkan aku untuk memulakan tugas tidak rasmiku..”photographer tidak berbayar”..hehe..

Hari kedua-Selasa, 14 September 2010

Selesai perjalanan hari pertama, kami bermesyuarat untuk merancang perjalanan hari esok..kami memulakan perjalanan dengan membeli tiket ke Taronga Zoo..nasib kami tidak baik kerana tidak memeriksa ramalan cuaca..sesampai kami di feri menuju ke Taronga Zoo, hujan agak lebat..dan tiket yang telah dibeli tidak boleh ditukar ke hari berikutnya..mahu tidak mahu, kami tunggu sebentar sehingga hujan reda..nasib baik hujan berhenti seketika..kami kemudiannya melawat Taronga Zoo..cantik sungguh Taronga Zoo ini..berlatarbelakangkan Sydney Opera House dan Sydney Harbour Bridge, panorama sekitar Taronga Zoo yang besar ini memang menakjubkan..tidak sia-sia kami membayar 30 dollar (harga pelajar) untuk tiket masuk..kami berpeluang untuk menyaksikan bird show..aku amat terpesona dengan burung-burung yang dilatih oleh pelatih burung..burung-burung tersebut mampu mengikut semua arahan yang diberikan dengan tepat..bijak sungguh burung-burung itu..binatang-binatang lain juga dapat kami saksikan seperti koala, kangaroo yang pelbagai spesiesnya, penguin, anjing laut, gajah, gorilla dan lain-lain sebelum hujan kembali lebat..mujur kami sempat menaiki feri ke Circular Quay semula..kalau tidak, mahunya kami tersadai di zoo bersama-sama binatang-binatang itu..

Selepas hujan reda, kami berjalan ke Sydney Opera House (SOH) untuk Sydney Opera House Tour..tour ini memakan masa selama 1 jam..menarik tour ini kerana kami diberi penerangan bagaimana SOH mula-mula dibina..SOH telah direkabentuk oleh seorang pereka dari Denmark, Jorn Utzon dan mengambil masa yang lama untuk disiapkan..rekabentuknya yang mendahului zaman pada mulanya adalah mustahil untuk disiapkan, tetapi berkat kesabaran akhirnya SOH dapat disudahkan pembinaannya..aku amat terpegun dengan keunikan seni binanya..SOH menempatkan Opera House dan Concert Hall untuk persembahan teater dan juga muzik..SOH mengingatkan aku akan Istana Budaya di Malaysia..fungsinya lebih kurang sama, apa yang membezakan keduanya adalah Istana Budaya jauh lebih kecil kerana mempunyai hanya satu pentas persembahan..

Hari ketiga-Rabu, 15 September 2010

Perjalanan hari ketiga kami dimulai dengan menaiki bas ke Bondi Beach..alhamdulillah, cuaca cerah mengikut ramalan kajicuaca..tidak seperti malam sebelumnya apabila kami terpaksa meredah hujan lebat ketika jalan-jalan cari makan di restoran Uyghur..di Bondi Beach, kami seperti biasa meluangkan masa untuk sesi wajib..apalagi kalau bukan bergambar..sepupu-sepupu aku ini semua bekas model terlatih..hehe..seronok aku melihat Hana, anak sepupu aku bermain pasir pantai meskipun matahari tengah terik dan tegak di atas kepala..sehinggakan apabila kami mahu mengambil gambar lompat, Hana turut serta mahu melompat seperti kami..seperti orang dewasa lagaknya..


Dari Bondi Beach, kami ke Paddy’s Market..di sini seperti syurga membeli-belah..banyak buah tangan yang boleh dibawa balik sebagai cenderamata..aku sempat membeli sedikit cenderamata untuk dikirim kepada keluarga di Malaysia..meskipun tidak besar, “it’s the thought that counts”..

Di sebelah malam, kami berjalan menaiki tren ke Circular Quay dari stesen Central..hmm, menarik sungguh apabila tren di sini mempunyai gerabak 2 tingkat..sangat patut dicontohi oleh negara kita untuk mengatasi masalah kesesakan ketika menaiki pengangkutan awam..tiba di Circular Quay, kami ke The Rocks town..kawasan The Rocks sangat mengujakan kerana ini merupakan kawasan kelahiran bandar Sydney setelah orang pertama dibuang ke bumi Australia..dahulunya, tempat ini dipenuhi dengan penjenayah yang dibuang daerah dan juga pelacur sebelum secara perlahan-perlahan bertukar menjadi kawasan penempatan yang lebih teratur..

Kami juga sempat meraikan ulangtahun kelahiran pakcik aku yang ke 60-an di sebuah restoran berdekatan Sydney Opera House..lupa pula aku berapa umurnya yang sebenar..dapat juga beliau merasa meraikan hari lahir di negara orang..pakcik aku itu amat leka merekod gelagat Hana dengan videocam nya..alangkah malangnya apabila sesampainya kami di stesen Sydney Central, pakcik aku tersedar yang videocam nya tercicir dari poket jaketnya kerana beliau sibuk menolak stroller Hana..sebelum ini, stroller akan ditolak oleh sepupu aku yang mana Hana akan berada di dalam stroller..malam itu, Hana mahu didukung ibunya dan stroller ditolak oleh pakcik aku..mungkin di dalam keadaan kelam-kabut mahu turun dari gerabak tren, video cam tersebut telah tercicir..apa yang dikesalkan adalah video yang sempat dirakam dan bukannya video cam itu yang memang boleh dibeli oleh pakcik aku itu..aku sempat membuat laporan kehilangan..kami hanya mampu berdoa..jika masih ada lagi manusia yang jujur dan memulangkan video cam itu, alhamdulillah..jika tiada, anggap saja bukan rezeki..

Hari keempat-Khamis, 16 September 2010

Hari terakhir di Sydney kami mulakan seawal 6.30 pagi ke Sydney Fish Market..kami berhajat untuk mengikuti Sydney Fish Market tour yang khabarnya amat menarik..tour ini berharga 20 dollar sekepala..sebelum penerangan dimulakan, kami diberikan vest fluorescent yang menandakan bahawa kami dibenarkan masuk..tour dimulai dengan penerangan sedikit sebanyak tentang Sydney Fish Market..tempat ini unik di mana pembeli (pemborong) akan membida ikan-ikan yang ingin dibeli seperti melakukan urusan di bursa saham..sebagai contoh..bidaan dimulakan dengan ikan tuna yang dijual pada harga 20 dollar sekilogram..masa akan dimulakan dan setiap kali jam dipusingkan ke arah lawan jam, harga ikan akan menurun..pembida yang paling cepat membida akan diisytiharkan sebagai pemenang..aku fikir hanya di bursa saham atau di auctions sahaja akan berlaku urusniaga sedemikian rupa..tidak ku sangka, di pasar ikan pun akan berlaku urusniaga sebegini..kami juga diberitahu bahawa untuk layak menjadi pembida (pembeli), pendaftaran adalah sebanyak 200 dollar dan perlu mempunyai bon sebanyak 10 ribu dollar..kami juga ditunjukkan dengan spesies ikan yang dijual di situ..selesai tour, kami makan fish and chips yang memang menjadi kewajipan jika ke sini..fish and chipsnya memang murah iaitu sekitar 8 dollar dan sangat segar..tak boleh lawan dengan di restoran yang jauh lebih mahal dan tidak sesegar di sini..

Dari pasar, kami pulang ke bilik dan membersihkan diri..kemudian kami terus check-out dan menyimpan barang di bilik simpanan sementara..kemudian, kami berjalan ke Power House Museum..sekali lagi, sesi fotografi bermula..sesi terakhir sebelum kami masing-masing pulang ke Melbourne dan Canberra..sepupu aku bertolak ke airport pada jam 3 petang..aku mengambil kesempatan berjalan-jalan di sekitar Paddy’s Market sebelum menaiki bas pada pukul 5 menuju ke Canberra yang sejuk..

Apa pun, aku amat enjoy dengan percutian ini..melayan keletah Hana yang mempunyai slang Aussie..meredah hujan lebat semata-mata untuk makan malam di restoran Uyghur..kehilangan video cam yang masih belum diketahui status..juga sesi bergambar yang penuh warna-warni sehinggakan pakcik dan makcik aku sudah tidak larat melayan karenah sepupu aku yang ligat bergambar..

p/s: harapan aku agar Mama, Along dan Baby dapat melawat aku tahun hadapan di OZ..boleh aku bawa mereka jalan-jalan..amin!


Monday, September 20, 2010

Syawal di Canberra

Cepat sungguh masa berlalu..tanpa ku sedari, hari ini sudah 11 Syawal..alhamdulillah, sambutan Eidul Fitri di Canberra meriah walaupun disambut sederhana..malam raya disambut dengan takbir raya di rumah Uncle Lan dan Auntie Anoi..aku datang awal dalam pukul 4 petang untuk membantu auntie memasak juadah berbuka..selepas isyak,takbir raya bergema di rumah auntie..di kala ini, hatiku dipenuhi rasa sayu dan syahdu mengenangkan keluarga tercinta dan sanak-saudara yang jauh di mata..nasib baik aku sudah mempunyai ramai kenalan di Canberra ini..maka, kesayuan itu tidak terasa sangat dan terus bertukar menjadi gelak ketawa tatkala sahabat-sahabat menjadi peneman setia..meskipun aku tidak berkesempatan untuk membuat kuih raya sendiri tahun ini, malam raya menjadi saksi aku membantu auntie membuat kuih raya..sempat kami (aku bersama kawan-kawan yang memang duduk menyewa di rumah auntie) membuat tiga jenis kuih yakni bahulu moden, kuih tart nenas dan juga kuih ros..rupa-rupanya, meskipun jauh dari keluarga, aku hanya sempat tidur selama 3 jam kerana kami selesai membuat kuih hanya pada jam 3.30 pagi..sama sahaja situasinya kalau aku di rumah kerana malam raya memang sibuk dengan bermacam-macam aktiviti memasak..nasib baik kawan aku menawarkan aku untuk bermalam di biliknya..maka senanglah kami untuk keluar bersama keesokan harinya..

Pagi raya, kami bersiap-siap untuk ke rumah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia kerana solat Aidilfitri akan diadakan di rumah beliau..aku tertanya-tanya, besar sangat ke rumah beliau sehinggakan solat Aidilfitri akan dilakukan di situ..sesampainya aku di sana bersama kawan-kawan, aku hanya mampu menggelengkan kepala kerana kediaman beliau bukannya rumah, tetapi bak kata orang putih “it’s a mansion”..memang besar dan tersergam indah..usai solat, kami dijamu dengan juadah hari raya diselangi dengan lagu raya yang menggamit memori beraya di Malaysia..terdapat bermacam-macam juadah yang memang membangkitkan selera setelah sebulan berpuasa..aduh, memang hancur dietku! tetapi, mengenangkan hari raya, aku makan juga..antara juadah yang ada termasuklah roti jala, nasi tomato, nasi minyak, ketupat nasi, rendang ayam, rendang daging, kuah kacang, kuih raya dan juga the tarik..lepas juga lah rindu untuk makan makanan Malaysia..

Selesai mengenyangkan perut, kami melakukan aktiviti wajib iaitu sesi bergambar..kami sempat juga bergambar dengan Dato’ Salman dan isterinya di ‘mansion’ beliau..bila tengok balik gambar tersebut, macam one big happy family..yelah, semua student pakat amik gambar ramai-ramai..best aje rasanya..sesi fotografi kami bukan setakat di ‘mansion’ sahaja..kami bergerak pula mencari tempat lain..akhirnya, kami memilih Australian War Memorial..namun, sesi fotografi tidak berlangsung lama kerana hujan mula turun dan cuaca menjadi sejuk dengan kehadiran angin..meskipun sudah masuk musim bunga, cuaca di Canberra masih seperti musim sejuk..sebelum beransur pulang, kami sempat mencari pokok sakura yang sedang berbunga untuk menjadi latar suasana fotografi kami..

Pada sebelah malam, memandangkan aku masih bermalam di rumah auntie, aku pun diajak untuk memenuhi jemputan rumah terbuka Kolonel Hassan..tak kisahlah kalau aku tidak mengenali siapakah yang empunya diri yang menjemput, yang penting, aku dapat merasai suasana beraya di tempat orang..

Hari raya kedua, giliran auntie pula membuat rumah terbuka..aku rasa seronok dapat membantu memasak, mengemas rumah dan menyusun meja serta pinggan mangkuk untuk menerima kehadiran tetamu..yang paling best sekali adalah semasa makan..rasa macam suasana open house di Malaysia..cuma kali ini, tetamu auntie ramai mat dan minah salleh..almaklumlah auntie telah bermastautin selama hampir 25 tahun di bumi Australia ini..maka jiran dan kenalannya mestilah orang Aussie kan? aku pun sibuk juga melayan tetamu meskipun aku tidak kenal..ada juga seorang mat salleh ni yang berbicara dengan aku di dalam bahasa Melayu..meskipun tidak berapa fasih, tetapi dia masih boleh mengucapkan beberapa perkataan yang mudah..aku tidak hairan kerana Bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling mudah dipelajari..ramai juga mat salleh yang aku ketemui mampu berdialog sepatah dua di dalam bahasa kebangsaan kita..

Keesokan harinya, aku memenuhi jemputan junior yang membuat rumah terbuka di teratak mereka..meskipun kami hanya duduk bersila kerana rumah bujang mereka tidak mempunyai meja makan, kami seronok dapat makan beramai-ramai..ada sate, popia basah, bubur pulut hitam, nasi putih, asam pedas ikan, lengkong dan juga cheesecake (dari The Cheesecake Shop..cheesecake halal yang sedap)..

Selesai makan, aku berangkat pulang ke rumah kerana ingin berkemas untuk ke Sydney pula..tak cukup beraya di Canberra, aku akan ke Sydney untuk berjalan-jalan bersama sepupu aku dari Melbourne..Sydney, here I come!!

p/s: Alhamdulillah, Syawal di Canberra meriah..

Thursday, September 9, 2010

Salam Eid Mubarak


Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi sebelum Ramadhan berlalu pergi meninggalkan kita semua..sebak rasanya hati ini kerana belum tentu lagi kita akan dapat menikmati Ramadhan tahun hadapan..apa-apa pun, sama-samalah kita berdoa semoga Allah memanjangkan usia kita agar Ramadhan seterusnya akan dapat kita kecapi..juga, semoga Allah mengampunkan semua dosa-dosa kita dan sentiasa melimpahkan rahmat-Nya kepada kita semua..

Beberapa persoalan yang perlu kita tanya diri kita sebagai peringatan agar kita tidak lupa..bagaimanakah Ramadhan kali ini kita lalui? cukupkah segala amalan untuk menyiapkan diri menghadapi 11 bulan seterusnya sebelum Ramadhan muncul lagi? kem Ramadhan kali ini adakah kita penuhi dengan amalan-amalan yang mampu menjadi perisai diri? jangan hanya gah melakukan segala amalan wajib dan sunat di bulan Ramadhan, tetapi apabila Ramadhan ditinggalkan, semua amalan diabaikan..tidakkah hanya sia-sia perbuatan sedemikian?

Aidilfitri kali ini merupakan tahun kedua aku beraya sebagai perantau kota..kali pertama dahulu di bumi England..kali ini aku beraya pula di Australia..harapan aku agar aidilfitri kali ini dapat aku sambut dengan meriah meskipun berjauhan dengan keluarga..sedih apabila memikirkan sanak-saudara yang jauh di mata..apa pun, kali ini tahun kedua aku beraya tanpa Ayah yang telah kembali ke rahmatullah tahun lepas..juga arwah Chik yang juga telah pergi menghadap Ilahi lewat 2008..tidak dilupakan arwah Atuk yang telah dipanggil menghadap-Nya pada tahun 2002..semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman..Al-Fatihah..

Bersempena dengan Aidilfitri yang akan menjelang tiba sedikit masa lagi, aku ingin mengambil kesempatan ini untuk menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf seandainya terdapat sebarang perbuatan atau kata-kata yang menghiris jiwa, menusuk sanubari dan melukakan hati sesiapa jua..sesungguhnya, aku hanya manusia biasa yang tidak lekang dari khilaf dan dosa..semoga kalian berbahagia beraya di samping keluarga tercinta, teman-teman dan sahabat handai..lupakan segala sengketa, pulihkan semula silaturrahim yang keruh..

p/s: Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir dan batin