Hmm, lama sungguh aku tidak menjenguk blog aku ini..dah bersawang rupanya..hampir 4 bulan aku tak update sebarang berita disebabkan kesibukan aku..mana tidaknya aku baru sahaja kembali semula ke OZ setelah 5 minggu time off untuk bertemu keluarga tercinta di Malaysia..13 bulan aku tak balik and it feels good to be home..walaupun aku balik selama 5 minggu, tetapi 2 minggu aku habiskan masa untuk menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah..alhamdulillah, dapat juga aku menjejakkan kaki ke tanah haram setelah selama ini hanya berangan-angan untuk menjadi tetamu Allah..syukur segala urusan aku dan keluarga dipermudahkan sedari awal perjalanan lagi..
Perjalanan kami dari Kuala Lumpur dengan penerbangan Saudi Arabia Airlines memakan masa hampir 8 jam setengah terus ke Madinah al Munawwarah..kami cuma berhenti di Riyadh selama sejam dan menunggu di dalam kapal terbang untuk membolehkan penumpang dari Riyadh terbang ke Madinah..setibanya di Madinah, aku terus diselubungi perasaan sebak apabila mutawwif menyarankan untuk berselawat sebanyak-banyaknya kerana di Madinahlah jasad Baginda Rasulullah saw disemadikan..walaupun tak pernah bersua, namun air mata aku tetap mengalir kerana jika tidak kerana Rasulullah yang gigih menyebarkan agama Islam, aku mungkin bukan menganut agama yang Allah redha ini..
Alhamdulillah, hotel penginapan kami yang diuruskan oleh Andalusia Travel and Tours hanya sekitar 5-7 minit sahaja berjalan kaki untuk ke Masjid Nabawi..memang sangat dekat..apabila menjejakkan kaki di hadapan pintu masuk Masjid Nabawi, sekali lagi aku mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana diberi kesempatan untuk menjadi tetamu Allah di kalangan ramai lagi umat manusia yang lain..aku memang sangat kagum dengan kawasan eksterior dan interior Masjid Nabawi yang sangat cantik dengan binaan yang hampir keseluruhannya disaluti emas..sempat juga aku menggunakan iPhone untuk merakam keindahan sekitar masjid meskipun kamera tidak dibenarkan dibawa masuk..
Memang sangat indah apabila dapat berjemaah di masjid..di sini, semua kedai akan tutup apabila azan dilaungkan dan peniaga-peniaga akan terus bergegas untuk berjemaah di masjid..alangkah seronoknya jika keadaan itu berlaku di Malaysia..setiap waktu solat, solat diutamakan dan semua kerja ditinggalkan..apa yang paling seronok ketika berada di Madinah adalah pengalaman berada di Raudhah, di mana ia merupakan salah satu tempat mustajab untuk berdoa..aku berpeluang bersolat dan memohon hajat sebanyak 2 kali di Raudhah meskipun jemaah terlalu ramai..semoga Allah memakbulkan semua doa ku..
Setelah berada di Madinah selama 5 hari 4 malam, kami bertolak ke Mekah al mukarramah untuk menunaikan ibadah umrah..kami miqat di Masjid Bir Ali dan menaiki bas ke Mekah yang mengambil masa selama 8 jam..perjalanan yang bermula sekitar jam 3 petang disertai dengan rehat, makan dan solat memungkinkan kami tiba di Mekah pada jam 12 tengah malam..setelah check in di hotel, kami dibenarkan oleh mutawwif untuk berehat selama sejam sebelum diarahkan untuk berkumpul di lobi pada jam 1 pagi untuk menunaikan umrah..
Di Mekah, hotel kami menginap agak jauh sedikit untuk menuju ke Masjidil Haram berbanding semasa di Madinah..tepat jam 1.30 pagi, kami tiba di depan Masjidil Haram..sebaik sahaja melangkah masuk dan melihat Kaabah dengan mata kepala aku sendiri, perasaan sayu, hiba dan sebak terus menyelubungi diri..air mata aku mengalir laju kerana sekali lagi aku bersyukur dapat dijemput menjadi tetamu Allah meskipun aku tahu diri aku ini sangat hina di sisi Tuhan yang Maha Agung..mana tidaknya, aku ini bukan manusia yang sempurna, malahan penuh dengan noda dan dosa..moga-moga Allah terima taubat dan amalan aku..
Apabila semakin menghampiri Baitullah untuk melakukan tawaf, kami melakukan umrah secara berjemaah yang dibimbing oleh mutawwif..tujuh pusingan tawaf diiringi dengan doa yang sangat-sangat menyentuh hati..Alhamdulillah, selesai tawaf, kami menunaikan solat sunat tawaf di Maqam Ibrahim dan berdoa..antara tempat mustajab berdoa di sini adalah di Maqam Ibrahim, Hijr Ismail, di multazam dan di bawah pancur emas..usai solat dan berdoa, kami minum air zam-zam..terus rasa bersemangat setelah meneguk air dari syurga yang tak akan pernah kering ini..kemudian, kami meneruskan perjalanan ke Bukit Safa untuk menunaikan Saie..perjalanan dari Bukit Safa ke Bukit Marwah ini adalah sebanyak 7 kali yang bermula di Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah sebelum kami bertahallul untuk melengkapkan aturcara umrah..selesai bertahallul, kami mendengar azan pertama dilaungkan pada pukul 4 pagi..adalah menjadi kebiasaan di mana azan Subuh akan dilaungkan sebanyak dua kali..pertama, untuk membangkitkan manusia yang enak diulit mimpi dan azan kedua menandakan waktu Subuh telah masuk..kami kemudiannya menunggu untuk Subuh berjemaah meskipun badan telah terlalu letih sejak menunaikan umrah pada pukul 1.30 pagi..syukur kerana kami dapat juga berjemaah Subuh sebelum kembali ke hotel untuk bersarapan dan berehat..
Pihak Andalusia membimbing umrah wajib sebanyak 3 kali dan syukur alhamdulillah aku dapat menyempurnakan kesemuanya..1 umrah optional (jemaah boleh memilih untuk melakukan umrah atau tidak) juga aku lakukan yang mana aku niatkan pahala umrah tersebut untuk arwah ayahku..selain dari mengerjakan umrah, kami juga berpeluang ziarah ke ladang unta, mendaki Jabal Nur dan Gua Hira' (tempat di mana Rasulullah saw mendapat wahyu pertama) selain ke Hudaibiyah..
Memang tak dapat nak digambarkan dengan kata-kata pengalaman berada di Tanah Haram..meskipun aku telah berpeluang melawat banyak negara, tak akan sama macam pengalaman berada di Tanah Suci..rasa betul-betul dekat dengan Allah..rasa Allah dengar semua doa kita..semoga Allah makbulkan semua doa aku dan doa orang yang mengirimnya kepada aku..semoga Allah menjemput aku lagi untuk menjadi tetamu-Nya..Amin...
p/s: nak jadi tetamu Allah biar di usia muda, kerana ibadah umrah perlu kudrat..bayangkan kalau ibadah haji nanti dengan jemaah yang mencecah 4 juta orang dan semuanya melakukan ibadah serentak..semoga Allah menyeru kita semua untuk ibadah umrah dan haji..insya-Allah